Seperti yang ibu janjikan, ibu post tentang kisah anak perempuan Abu Lahab ni. Kisah ni ibu ambil dari Utusan Online. Membaca kisahnya, ibu harap anak ibu juga bakal menjadi seorang muslimah yang sejati, penyejuk hati kami berdua kelak. Aamiin.
DURRAH binti Abu Lahab adalah seorang anak yang baik. Abu Lahab
adalah bapa saudara Nabi Muhammad. Nama sebenar bapa saudaranya itu
adalah Abdu al-Izzi bin Abdul Muthalib.
Abu Lahab sangat benci terhadap Nabi Muhammad. Abu Lahab adalah musuh
Islam yang utama. Ibu Durrah bernama Arwa binti Harb. Ibunya juga tidak
suka kepada ajaran Islam. Ibunya juga tidak suka kepada Nabi Muhammad.
Pernah berlaku satu peristiwa Arwa sengaja meletakkan duri-duri di
atas jalan yang selalu dilalui oleh Nabi Muhammad. Walaupun begitu Nabi
Muhammad tetap sabar dengan tindakan Arwa itu.
Arwa sememangnya wanita yang ingkar terhadap Islam. Dia sanggup
menghabiskan harta bendanya demi menghapuskan Nabi Muhammad sehingga dia
dipanggil oleh Allah dengan nama Hammalat al-Hathab yang bermakna pembawa kayu bakar.
Durrah membesar dengan pelbagai rintangan dan cabaran. Dia sering
melihat kekejaman yang dilakukan oleh bapanya terhadap orang Islam.
Sikap angkuh kedua ibu bapanya menyaksikan bahawa keluarganya
benar-benar mahu menghapuskan Islam.
Sikap angkuhnya terbukti apabila Nabi Muhammad mengajak Abu Lahab beriman kepada Allah.
Abu Lahab berkata: "Sekiranya kata-kata Nabi Muhammad itu benar dan
tidak salah, maka pada hari kiamat nanti saya akan tebus seluruh harta
dan anak saya bagi menyelamatkan diri saya daripada seksaan api neraka". Jangkaan Abu Lahab bagi menyelamatkan dirinya daripada seksaan api
neraka semuanya meleset. Allah sudah berfirman dalam surah Asyura ayat
88 dan 89 yang bermaksud: Iaitu di hari harta dan anak-anak lelaki tidak berguna kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih.
Ketika Durrah semakin membesar Allah memberi petunjuk kepada dirinya.
Durrah juga sering mendengar kehebatan ajaran agama Islam yang
disampaikan oleh Nabi Muhammad.
"Saya percaya segala ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad
adalah benar. Islam adalah agama yang patut dianuti oleh orang yang
ingin mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat," kata Durrah sendirian.
Walaupun harta kekayaan bapanya melimpah ruah, Durrah tidak termakan
dengan kata-kata penghinaan bapanya terhadap Islam. Harta benda bapanya
itu tidak dapat menghalang tekadnya untuk memeluk agama Islam. Akhirnya
Durrah memeluk agama Islam semasa dia berada di kota Mekah. Selepas
memeluk Islam, dia berhijrah ke Madinah.
Meninjau kepada kehidupan rumahtangganya, dia berkahwin dengan Naufal
bin al-Haris. Hasil perkahwinan itu mereka dianugerahkan tiga anak
iaitu Uqbh, al-Walid dan Abu Muslim.
Suaminya terbunuh semasa perang Badar dan tidak sempat memeluk Islam.
Selepas kematian suaminya itu, Durrah berkahwin pula dengan Dihyah
al-Kalbi.
Semasa di Madinah, Durrah mendapat tentangan daripada sekumpulan wanita yang sama-sama berhijrah ke Madinah. Seorang wanita daripada Bani Zuraiq berkata kepada Durrah: "Awakkah
anak Abu Lahab yang kejam itu?" Mengapa awak ikut kami berhijrah? Tidak
ada faedahnya awak ikut kami berhijrah. Malah hijrah awak tidak
mendatangkan manfaat bagi diri awak".
Lalu Durrah menjawab: "Saya berhijrah bagi mendekatkan diri saya
kepada Allah. Awak tidak patut berkata begitu terhadap saya. Memang
benar bapa saya jahat dan kejam terhadap orang Islam. Tetapi saya tidak
seperti bapa saya". Durrah agak sedih lalu meninggalkan wanita Bani Zuraiq itu. Kemudian
dia berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia menceritakan segala apa yang
berlaku kepada Nabi Muhammad. "Bertenanglah wahai Durrah," kata Nabi Muhammad.
Selepas Nabi Muhammad selesai mengerjakan sembahyang, baginda berkata
kepada orang Islam yang berada di tempat itu: "Dengar sini semua. Saya
tidak akan membenarkan keluarga saya diseksa atau disakiti oleh sesiapa.
Kaum keluarga saya akan dapat syafaat daripada saya pada hari kiamat
kelak".
Mendengar kata-kata Nabi Muhammad, wanita Bani Zuraiq itu menjadi
insaf dan sedar atas kesilapannya menyinggung perasaan Durrah. Wanita Bani Zuraiq itu pun berjumpa dengan Durrah dan berkata: "Wahai
Durrah saya minta maaf di atas segala kekasaran bahasa yang saya
ucapkan kepada awak tempoh hari. Saya sebenarnya tidak menyangka bahawa
awak adalah seorang gadis yang berhati mulia. Awak tidak seperti Abu
Lahab yang kejam itu. Maafkan saya".
Durrah menerima kata-kata wanita Zuraiq tersebut dan berkata: "Saya
maafkan awak. Semoga persahabatan kita kekal dan diberkati Allah".
Sejarah Islam menyatakan bahawa, Durrah merupakan srikandi yang
berbakat besar. Dia adalah seorang penyair daripada kalangan wanita
Quraisy. Sepanjang hayatnya dia melaporkan sebanyak tiga buah hadis
daripada Nabi Muhammad. Selain itu, dia merupakan wanita yang pandai menghasilkan karya
sastera. Durrah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 20
Hijrah.
No comments:
Post a Comment